Ahad, 24 April 2016

NURUL HAFIZAH JIZIN


                                               Cintaku Tertinggal Di Surau IP (bunga abah)
                        
                                    nurul hafizah jizin bc13110162

Seusai sahaja kuliah encik Beddu untuk subjek teras sekolah iaitu kaedah penyelidikan yang bermula pukul 4 sehingga pukul 6 petang, aku bergegas berkemas untuk keluar dari dewan kuliah.
Aku, Ida, Su dan Azrol menunggu kereta Ida di depan dewan kuliah kerana rakan sebilik Ida meminjam keretanya untuk urusan lain. Kami menunggu kira-kira setengah jam, kemudian kelibat kereta kancil bernombor plat negeri Selangor pun muncul. Aku menerpa ke arah kereta sedang kawan-kawan yang lain masih riuh bercerita.

“ woi, cepatlah. Lewat dah ni”, jeritku dari tingkap kereta yang diturunkan separuh. Setelah menurunkan Kak Ju, rakan sebilik Ida di bloknya, kami keluar dari kawasan Universiti Malaysia Sabah kerana aku perlu mencari hamper sebagai cenderahati untuk program keesokan hari.
Kami segera memecut kereta ke pasar raya berdekatan, tetapi hampa kerana hamper yang ada hanya dua buah hamper besar yang bernilai seratus ringgit. Waktu magrib hampir ke penghujung, sedang kami belum menunaikan solat magrib. Kami pun mencari surau berdekatan untuk singgah bagi menyempurnakan perintah Ilahi.
Azrol memakir kereta di tepi longkang, di bawah sebuah pohon rendang di tepi jalan. Suasananya agak gelap, tetapi terdapat sebuah papan tanda kecil yang cahayanya samar-samar tertulis ‘surau IP’.  Kami melangkah laju masuk ke surau. Aku, Ida serta Su terkial-kial mencari bahagian solat wanita. Tiba-tiba, ada pemuda menunjukkan arah ke bahagian solat muslimah. Aku cuma memerhatikan mereka. Kesemuanya berkupiah, sedang bersembang di belakang kereta dalam cahaya yang samar-samar. Fikirku, mereka orang yang tinggal kawasan perumahan itu..
Oleh sebab aku sedang uzur, aku tidaklah sekalut Ida dan Su yang terus meluru masuk dan mencari tempat berwuduk. Aku sekadar menjengah ke ruang solat, dan mataku liar melihat susun atur dan bentuk surau itu yang seakan sebuah rumah. “Ini surau ke rumah orang yang kosong?”,detik hatiku.
Aku biarkan Ida dan Su dalam kekalutan mereka. Aku tertarik dengan bau harum di surau itu, aku fikir itu mungkin bau minyak attar yang dipakai oleh mubaligh yang tinggal di surau tersebut kerana aku melihat ada beberapa helai jubah tersangkut di ‘rail’ langsir.  Sehinggalah mataku tertumpu pada sebuah rehal yang ada berhampiran dinding. Aku bersila, dan cuba membukanya. Uish! Al-Quran. Aku dalam keadaan kotor, dan aku beralih kepada sebuah buku tebal yang ada bersama-sama Al-Quran itu di atas rehal. Tajuknya “Fadhilat Sedekah”.
Perlahan-lahan aku membeleknya. Aku amati setiap isi kandungannya. Aku mengkhatamkan bahagian isi kandungan buku itu, dan aku tertarik pada satu tajuk, iaitu sifat-sifat sesiapa yang patut dilihat sebelum berkawan, dan beberapa lagi tajuk yang lain. Aku ‘ralit’ membelek buku tersebut sehelai demi sehelai. Tidak puas aku mencium buku itu, aku dakapnya seperti aku mendakap al-quran setiap kali seusai mengaji. Terasa tenang, air mataku berjurai. Puas diseka. Aku terus mengelap. Sebak rasa hati. Terus aku teringatkan bak di kampung. Bak adalah panggilanku kepada ayah. Teringat segala dosaku. Apalah lagi yang mampu aku buat untuk ma dan bak. Sudahlah aku tak mampu menjadi pelajar cemerlang untuk semester lepas, aku datang belajar jauh-jauh menggunakan duit yang banyak. Tetapi hanya mendapat pointer yang tidak sampai 3 ! Masih segar diingatanku, bagaimana riak wajah bak sejurus aku membacakan pointer keputusanku. Teringat juga bagaimana saat-saat akhir aku di rumah. Tersedu-sedan keluar dari rumah. Perjalananku jauh, dari Terengganu ke Johor, dan dari Johor ke Sabah. Memakan masa dua hari kerana dari Terengganu ke Johor kerana aku menaiki bas.
Subhanallah. Allah Maha Kaya. Sudah hampir lima minggu aku di Sabah. Namun hanya sekali sahaja aku mendengar suara bak di telefon. Ya tuhan, rindunya tidak terkata. Disaat sendirian, aku mengimbau kenangan zaman kanak-kanak. Aku anak bak dan adikku anak ma. Aku selalu tidur di bawah ketiak bak. Walau baunya tidaklah harum, tetapi ia penawar bagiku.
`Ya tuhan, sampaikan salam kemaafanku kepada bak. Bak mengharapkanku cemerlang. Aku sudah buat yang terbaik untuk semester lepas. Aku khuatir jika ibu bapaku kecewa denganku, Kau juga akan kecewa denganku,sayang. Kerana redhaMu terletak pada redha mereka.
Kekadang, aku tersenyum sendirian. Mengenang sewaktu bercuti semester lepas. Aku curi-curi mencium baju bak yang hendak dibasuh. ‘Wangi!’ itu yang dapat aku katakan. Bukan sekali aku menciumnya, bahkan berkali-kali. Lamunanku terhenti.
  “ Ya tuhan, hari ini aku tidak mampu memegang al-quran. Tetapi Engkau kirimkan aku sebuah buku sebegini. Aku nekad, aku akan pastikan buku ini menjadi milikku”,.
Terus aku bangun, lalu ku kesat air mata dan aku menjengah ke luar. “Sorry”, aku menyapa tiga pemuda yang belum habis bersembang itu.

                “ye cik, ada apa?”

 “ boleh tak saya nak buku tu?”

 “buku yang mana tu cik?

“buku yang dekat rehal tu”

“ yang tu saya kena tanya tuan pemilik buku tu dulu lah”

“lepas tu, macam mana saya nak dapatkan semula buku tu?”

“ Cik boleh datang sini lah, ambil”

“Ala cik..saya dah la tak ada kenderaan. Datang sini pun tumpang orang ni cik”

“Jadi, saya boleh hantar lah”

“OK, kalau macam tu, encik tolong tanya dulu tuan punya buku ni, boleh tak saya nak buku ni. Ataupun saya beli buku ni”

“Baik. Cik ambil nombor telefon saya.”

Aku kembali bersila di hadapan rehal. Tidak puas aku membelek, sedang aku sendiri tidak tahu apa yang mahu ku baca. Aku nekad. Aku akan pastikan buku ini menjadi milikku. Jujur ku katakan, aku tenang..
Sehingga ke dalam kereta, aku curi-curi mencium tanganku yang masih melekat bau haruman dari surau tadi, takut juga kalau Su yang berada di sebelahku perasan tindakanku itu, bimbang nanti dibilangnya aku mencium tangan yang busuk. Hahahaha
 Tidak sabar aku menunggu pemuda itu membawanya kepadaku. Berhari-hari aku menunggu panggilan, dan pemuda itu membalas pesanan ringkasku. Tetapi perjalanannya seakan perlahan. Tidak seperti semangatku yang berkobar-kobar mahu melihat buku itu didepanku. Aku tidak jemu memikirkan apakah buku itu rezekiku? kenapa aku begitu mahukannya? aku pun bingung.. Tetapi buku itu istimewa bagiku. Air mataku mengalir di rumah allah, sebaik membacanya..aku yakin. pasti ada sesuatu yang allah mahu tunjukkan kepadaku. Aku seakan sudah jatuh cinta. Sering terfikirkan saat-saat hatiku tersentuh semasa membacanya, baunya yang harum, sehingga aku memeluk dan menciumnya berkali-kali, Aku juga berdoa, jika buku itu membawa kebaikan padaku, permudahkanlah ia datang kepadaku. dan jika ia memudaratkanku, jauhilah ia daripadaku.
Sekitar jam 5.50 petang, cikgu yasir membawa cintaku kepadaku. Perkarangan perpustakaan UMS sebagai saksi aku menyambut cinta dengan penuh senyuman. Aku sisihkan perasaan gementar dan malu kerana berurusan dengan pemuda yang jauh lebih berusia dariku. Bahkan, raut wajahnya juga sedikit menjentik hatiku. Namun segera aku beristighfar. Tidak mungkin orang sealim dia akan memandang orang sepertiku. Semoga adanya cinta bersamaku, akan menjadi panduan dan rujukan buatku. Terima Kasih Allah. Ini hadiah dariMU.
Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui. Yang manakah cintaku yang sebenar. Buku itu atau yang datang kepadaku bersama buku itu.. Perkenalan kami tidak terhenti di situ, kami terus berhubung. Berkongsi cerita tentang kisah-kisah para anbia, bertukar kata nasihat dan saling memberi kata-kata semangat kerana keduanya antara kami sedang diuji.
Ya tuhan, aku senang dengannya.. Jika inilah bakal imamku yang sudah ku pinta bertahun-tahun, Alhamdulillah. Tetapi, jika kehadirannya dalam hidupku hanya untuk sementara, juga ku ucapkan syukur Alhamdulillah. Kerana datangnya kepadaku tidaklah sia-sia. Pasti akan ada sesuatu yang datang bersamanya dan aku masih belum menemukan hikmah di sebalik apa yang sedang berlaku.
Allah aturkan pertemuan sekelian kalinya antara kami. Aku menyediakan sebuah buku baharu untuk di wakafkan di surau IP bagi menggantikan buku yang telah aku ambil. Kami bertemu di pondok sebelah pejabat Kolej Kediaman AB. Aku menunggunya dengan penuh debar sedang aku sendiri tidak tahu mengapa dadaku berdegup kencang sebegitu rupa. Kaki dan tanganku sejuk. Namun aku cuba mengawal emosi dengan berzikir dan terus berzikir. Laailaahailallah.. Ku tekapkan tangan kananku di dada, lalu ku mohon doa pada yang Yang Esa. Ya Allah, tenangkanlah aku.. Aku cuma ingin menggantikan buku yang telah ku ambil dari surau itu sahaja. Telefonku berdering.
“ Cik Fatin di mana? Saya sudah sampai. Sekarang ada di kafe AB”
Aku menjengah ke kafe. Kelihatan kelibat kereta viva datang ke arahku.
Semakin kuat aku cuma menenangkan diri, semakin kuat debaran di hati. Aku cuba melemparkan senyuman kepadanya yang mengatur langkah datang ke pondok itu.
“Assalamualaikum, cikgu”, aku mulakan perbualan sehingga terlupa menjemputnya duduk.
“Waalaikumussalam.. Boleh saya duduk?”
“Eh, maaf cikgu. Sila duduk”.
Sebaik sahaja dia melabuhkan punggung ke bangku, aku terus menghulurkan buku itu.
“Ini buku saya beli untuk menggantikan buku yang saya ambil hari tu. Jadi, cikgu tak perlulah bersusah payah cari buku yang sama untuk menggantikan buku itu semula. Saya ni menyusahkan cikgu saja”.
“Eh, tidaklah Cik Fatin..”
Petang itu, kami banyak bercerita. Berkongsi tentang banyak perkara sehingga terbabas kepada hal peribadi. Sejak petang itulah kami lebih banyak nasihat menasihati antara satu sama lain. Aku merasakan ujian bagiku sudah berat, tetapi hakikatnya Allah lebih menyayanginya daripadaku. Rumah tangganya baru saja runtuh dan aku cuba menahan diri dari terus bertanya. Aku dapat lihat matanya berkaca, dan berkali-kali aku bertanya “ Cikgu, are you ok?”

“Ya, I’m ok”, balasnya sambil tersenyum padaku.
Ya tuhan, hanya padamu layak dipuji. Sungguh indah senyuman yang Engkau pinjamkan kepadanya. Aku segera beristigfar dan menundukkan pandangan.
“Cikgu sedih ye..?”

“Tak, saya tak sedih”, balasnya diiring senyuman.

“Tak..jangan tipu.. semua ni baru je berlaku, kan? Cikgu sedih tapi you try to be relax”

“erm…ya.. I try to be relax”

Ya Allah.. Betapa hatinya bersih. Dia redha dengan apa yang sudah Kau tentukan. Dalam kekalutan ini pun, dia masih utuh berharap kepadaMu. Semoga aku juga mampu menjadi sekuat dia. Jujur, aku cemburu !
Sudah lebih seminggu aku berkawan dengan Cikgu Yasir. Tetapi aku masih belum meminta izin dengan ibu ayahku untuk terus berkawan dengannya, kerana bagiku persahabatan kami bukanlah persahabatan biasa seperti antara aku dan teman-teman kuliah. Dia banyak menyedarkan aku tentang apa yang aku leka. Selalu mengingatkan aku untuk solat, namun aku tetap juga dengan sikap buruk ku iaitu melengah-lengahkan solat.
Pagi  itu, seusai aku mengerjakan solat sunat dhuha, aku diberi kekuatan oleh tuhan untuk memberitahu hal sebenar kepada mama. Aku terangkan peda ma hal yang sebenar. Bagiku, jika aku bercakap jujur, Allah pasti memudahkan aku di kemudian hari. Maka, aku terus bercerita kepada mama. Mama terkejut. Setiap ayat yang aku tuturkan, disambut mama dengan istigfar..

Aku tahu, mama mungkin fikir aku sudah terkena buatan orang. Berkali-kali aku meminta maaf pada mama. Aku berasa sangat  bersalah kerana membuatkan mama runsing dengan mendengarkan hal ini. Tetapi, aku jelaskan kepada mama, niatku hanya ingin meminta izin dengan mama dan papa untuk bersahabat dengan cikgu.

“Ma.. kalau ma dan bak tak izinkan kak berkawan dengan cikgu ni, kak akan hentikan persahabatan ni. Kak cuma nak minta izin dengan ma je”, jelasku.
“Kak minta maaf sangat dengan ma dan bak sebab tak minta izin sebelum ni untuk berkawan rapat dengan cikgu ni. Sebab kak fikir ini hanya persahabatan biasa. Tapi, selepas cikgu ajak kak nikah, katanya dia sayangkan kak kerana Allah, kak sedar yang ini bukan hal biasa, bukan persahabatan biasa dan kak perlu bagitahu ma dan bak. Jadi sebab itulah kak gagahkan diri bagitahu ma tentang ni. Kak minta maaf sangat kalau buat ma dan bak susah hati. Kak cuma nak minta izin dengan ma sebab kak masih lagi dibawah tanggungan bak dan ma”

Aku menerangkan kepada ma dengan tangisan yang berjurai-jurai tanpa henti. Ma cuba menenangkan aku. Disuruhnya aku solat, selawat, berzikir, mengaji dan pelbagai macam lagi supaya aku lebih dekat dengan tuhan. Aku mengiyakan.
Pagi itu, aku minta ma buatkan solat hajat dan terus berdoa.
“Ma, ma doakanlah untuk kak. Kalau dia ni jodoh kak yang dah lama kak minta dengan Allah, Semoga Allah jaga hubungan kami dan kami terhindar dari buat maksiat, kak takut ma. Semakin kak nak dekat dengan Allah, makin banyak ujian yang datang. Selama ni kak cuma hadapi sendirian, kak tak nak bagitahu ma sebab tak nak ma susah hati. Tapi, kali ni kak ceritakan pada ma. Susah ma, kak nak berubah. Ma doakanlah kak sabar”.
 “Kak, ma sekarang nak kak belajar je. Tak nak ada perkara lain. Belajar sampai sudah dulu”.       
“Ya ma. Kak cuba”.


Perbualanku dengan ma yang hampir sejam itu di akhiri dengan banyak pesanan dari mama. Mama tidak menghalangku dari terus berhubung dengan cikgu, tapi mama takut bila aku memberitahunya cikgu telah pun melamarku. Ia berlaku terlalu cepat. Tapi aku tiada masalah dengannya, kerana aku yakin dengan DOA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan