NURAZLIZA ROSLI BC13110153
ASAL USUL
PASIR MAS
Sebut saja
nama daerah Pasir Mas, Kelantan, pasti ramai mengaitkannya sebagai ‘kilang’
gadis cantik hingga sering diburu oleh pemuda tempatan mahupun luar Kelantan
untuk dijadikan calon isteri. Malah, tidak keterlaluan jika gadis Pasir Mas
yang terkenal dengan jolokan comel ‘lote’ serta memiliki wajah keayuan yang
asli itu dianggap sama seperti Cinderella yang sentiasa menjadi igauan setiap
‘putera’. Ini kerana, bila disebut saja gadis Pasir Mas, ramai pemuda
terbayangkan seorang gadis Melayu yang memiliki raut wajah ayu dan jelita, sama
seperti gadis zaman bangsawan.
Paling ketara, gadis Pasir Mas memiliki
wajah Melayu yang mampu menggoda lelaki tanpa perlu disolek. Selain itu kulit
mereka, terutama di tangan, kelihatan lembut dan gebu seperti bayi. Namun,
paling menarik ialah keunikan mata gadis Pasir Mas. Mereka dikatakan memiliki
mata menawan iaitu berwarna coklat kebiruan dan kelabu, lengkap dengan alis
mata dan kening hitam serta tebal, seolah-olah memakai celak. Ada penduduk mendakwa
wanita dari Pasir Mas mempunyai hubung kait dengan puteri dongeng Kelantan,
Puteri Sa’adong yang dikatakan memiliki wajah cantik dan ayu Ada juga mendakwa kecantikan kulit
gadis Pasir Mas diwarisi daripada nenek moyang mereka yang berasal dari Selatan
Thailand dan berhijrah ke daerah ini sejak puluhan tahun lalu. Nenek moyang
mereka dikatakan mengamalkan makan beras pulut setiap hari, selain mandi
menggunakan air basuhan beras bagi mengekalkan ketegangan kulit supaya sentiasa
kelihatan menarik dan gebu. Ada juga yang memakan buah-buahan seperti tomato
setiap pagi serta meminum air suam bagi mengekalkan kecantikan kulit badan.
Antara kampung di Pasir Mas yang didakwa tersohor kerana
mempunyai ramai gadis cantik ialah Kampung Seberang Pasir Mas, Kampung Betong,
Kampung Aur Duri, Kampung Bunut Susu, Kampung Slow Machang dan Kubang Bemban.
Menurut Fatihah Fauzi, 22, dari Kampung Lemal, sejak dulu lagi dia dan dua
kakaknya diasuh oleh emak supaya meminum air suam.
“Saya tidak suka memakai alat solek kerana ia dikatakan penuh
dengan bahan kimia yang memudaratkan wajah. Saya lebih suka wajah ini tidak
disolek kerana ia tetap kelihatan ceria jika kita menjaganya dengan baik,”
katanya.
Apapun, keistimewaan gadis Pasir Mas pasti mempunyai kaitan
dengan sejarah dulu kala. Berdasarkan sejarah kewujudan Pasir Mas, kawasan itu
dipercayai dibuka oleh Che Leh @ Salleh Ismail yang berhijrah selepas tanahnya
di Kota Bharu diambil alih oleh Sultan untuk membina istana. Walaupun pada
awalnya tidak bersetuju dengan desakan perpindahan itu, Che Leh yang turut
digelar Che Leh Tok Pendekar terpaksa akur dengan titah Sultan kerana tidak
mahu dianggap menderhaka.
Bekas pesara tentera, Wan Ali Wan Hussin, 75, berkata Che Leh
bersama keluarga berhijrah ke arah utara Kota Bharu sebelum membuka penempatan
baru yang kini dikenali sebagai Seberang Pasir Mas. Che Leh dikatakan tertarik
membina rumah barunya di kawasan itu kerana ia terletak berhampiran tebing
Sungai Kelantan, selain memudahkan beliau dan keluarga melakukan kerja harian.
Katanya, beberapa bulan selepas itu ramai penduduk luar berhijrah ke kawasan
terbabit, menyebabkan penempatan itu padat dalam sekelip mata selepas Che Leh
mengambil inisiatif sendiri untuk membina surau, pasar dan pangkalan perahu.
“Pada masa sama, seorang guru agama dari Bachok datang mengajar
agama di kawasan itu, namun pulang ke kampungnya sebaik selesai mengajar
beberapa bulan kemudian. Beberapa hari selepas kepulangan guru itu, tiba-tiba
muncul tiga biji mangkuk emas di kawasan semak,” katanya.
Menurut Wan Ali, ketiga-tiga mangkuk itu kemudian dikatakan
berpusing-pusing membentuk pusaran di sekitar kawasan semak itu, menyebabkan
mereka yang melihat kejadian itu menjerit, ‘Mas! Mas!’. Perkataan ‘pasir’ pula
timbul kerana berdekatan penempatan yang terletak di tebing Sungai Kelantan itu
kelihatan beberapa longgokan pasir sehingga membentuk padang luas, menyebabkan
kawasan terbabit digelar Pasir Mas, hasil cantuman perkataan pasir dan mas.
Selain itu, Pasir Mas pernah menjadi kawasan perdagangan
terkenal di rantau Asia Tenggara apabila menerima kemasukan kapal pedagang,
khususnya dari Indonesia, China dan Tanah Arab. Difahamkan, dianggarkan lebih
30 pangkalan bagi pendaratan kapal dan sampan didirikan di sepanjang tebing
Sungai Kelantan, antaranya Pengkalan Feri, Pengkalan Gedung, Pengkalan Pasir,
Pengkalan Tanjung Muleh dan Pengkalan Tok Leper.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan