Nurazliza Rosli Bc13110153
DENDAM
DENDAM
HOSPITAL KUALA LUMPUR.
ASP Sakri masih berada di situ,
menunggu hasil bedah siasat ke atas mayat Emelda. Memandangkan yang dibunuh itu
merupakan kenalannya, dia sanggup menanti walaupun masa telah melewati tengah
malam. Azamnya menjulang untuk menangkap pembunuh Emelda.
Setengah jam kemudian, Doktor Asmah
keluar dari bilik pembedahan. Dia mengajak ASP Sakri masuk ke biliknya. Dia
yang masih berpakaian putih mempersilakan ASP Sakri duduk sebentar, sementara
menyiapkan laporan hasil bedah siasat. Doktor Asmah mengemukakan semua fakta
forensik dalam laporan. Sejurus selesai, dia menandatangani laporan itu dan
membuat beberapa keping salinan, untuk simpanan fail dan diserahkan pada pihak
polis.
“ASP Sakri...dalam laporan ini
semuanya lengkap.”
Sejurus menerima laporan itu, ASP
Sakri terus membacanya secara terperinci.
“Pembunuh menggunakan pisau biasa
berukuran 11 sentimeter. Tikaman pertama memecahkan saluran kerongkong.
Manakala kali kedua pembunuh menghiris perut mangsa.” Ulasan itu sebenarnya
sudah dimuatkan dalam laporan forensik.
“Kekuatan pembunuh, macam mana,
doktor?” tanya ASP Sakri.
“Pembunuh seorang lelaki,” tegas Dr.
Asmah. “Salinan gambar pembedahan akan saya hantar kemudian.”
ASP Sakri mengangguk lagi tanpa
mengeluarkan suara. Dia berfikir sejenak.Anggota polis forensik tidak menemui
sebarang bahan bukti di tempat kejadian. Malah cap jari pembunuh pun tidak
dapat dikesan. Kes ini merupakan satu pembunuhan terancang. Motifnya dendam.
“Andaian saya...pembunuh tu seorang psychopath, seorang pesakit mental yang
teruk. Orang gila yang terlalu merbahaya. Tengok saja cara dia membunuh
mangsanya, kejam dan ganas!” Doktor Asmah membuat telahannya sendiri walaupun
bidang psikiatri bukan ruang lingkup tugasnya sebagai doktor forensik.
SYARIKAT MUTIARA HOLDING SDN BHD.
Kekalutan para pekerja semakin
menjadi-jadi setelah berlakunya dua pembunuhan di syarikat itu. Terdapat
beberapa pekerja yang masih menjalankan tugas, biarpun kawasan syarikat ini
telah diisytiharkan sebagai kawasan larangan. Lima bulan yang lalu, seorang
lelaki ditemui mati dalam keadaan yang mengerikan di tempat letak kereta
syarikat Mutiara Holding Sdn Bhd. Hari ini berlaku kembali kejadian yang
mengerikan itu, di tempat yang sama dan dalam keadaan yang serupa. Namun kali
ini mangsa tersebut ialah seorang wanita. Perkara yang menjadi tanda tanya
ialah kedua-dua mangsa menjawat jawatan yang sama iaitu, pegawai di bahagian
kaunseling. Malahan mereka baru sahaja dinaikkan pangkat sebagai pegawai di
bahagian tersebut.
Kes seperti ini sudah terjadi pada
lima bulan lepas namun kes tersebut
ditutup kerana bukti tidak mencukupi untuk mendakwa tertuduh. Persoalannya
siapakah yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan ini? Apakah kaitan jawatan
mereka dengan kejadian yang menimpa mereka? Persoalan ini berlegar-legar di
kepala ASP Sakri. Ini bermakna fail kes sudah terpaksa dibuka kembali bagi
menyelesaikan kes pembunuhan terancang
ini.
KES PERTAMA: SHAHRUL AKIR.TARIKH
KEJADIAN 13/10/2014
Shahrul tersenyum gembira. Akhirnya
dia dinaikkan pangkat. Entah kenapa hari ini jugalah keretanya rosak. Shahrul
melangkah ke arah motosikal milik rakan serumahnya. Nasib baik jugalah rakannya
dengan senang hati membenarkan dia meminjam motosikal itu. Kalau tidak, mesti
rekod kerjanya yang bersih akan tercemar dan jawatan ini mungkin terlepas ke
tangan orang lain.
Selepas habis waktu bekerja, dengan
wajah yang riang Shahrul menghidupkan enjin motosikal itu. Namun enjinnya itu tidak dapat dihidupkan seperti telah
dimasukkan air ke dalamnya. Bunyi ngauman semasa menghidupkan motosikal itu
membuatkan Shahrul mengeluh.
Dia mula memaki orang yang cuba
menganiayanya. Beg kerja dihempas lalu telefon bimbit dikeluarkan. Tiba-tiba
satu pesanan ringkas diterimanya. Shahrul membaca pesanan ringkas itu dengan
wajah yang amat serius.
“Kau BERSALAH! Kau harus DIHUKUM! Kesalahan yang tidak dapat dimaafkan!
Kau akan dihukum MATI!” – PENYELAMAT MUTIARA.
Dia tersentak. Dalam firasatnya ada
seseorang yang ingin mempermainkan dirinya. Dia melihat sekeliling.
“Kau tak payah nak takut-takutkan
aku! Aku tak takut sikit pun! Siaplah kau kalau aku dapat kau!”ujar Shahrul
penuh kemarahan.
Melihat tiada orang menyahut, Shahrul
mula memeriksa motosikal temannya itu untuk cuba membaiki. Dalam keadaan dia
leka, satu pukulan mengenai kepalanya. Dengan pandangan berpinar Shahrul cuba
melawan pembunuh itu. Kali ini dia disepak di perut. Shahrul terduduk menahan
senak.
Belakang badannya dihentak
menggunakan siku yang mempunyai pelapik berduri besi. Darah mula membasahi
lantai. Baju Shahrul mula dibuka, dengan keadaan tidak mampu melawan Shahrul
hanya mengerang kesakitan. Tengkuknya ditikam. Selepas itu dengan menggunakan
sarung tangan dia mula menikam perut Shahrul menggunakan pisau pemotong daging.
Usus-usus perut mula kelihatan. Shahrul menjerit meminta tolong namun semakin
lama teriakannya semakin perlahan lalu terus berhenti.
Pembunuh itu mengeluarkan usus
perutnya seperti memperlakukan lembu yang baru dilapah. Dipotong, dicencang
usus Shahrul lalu dicampak disekitarnya.
KES KEDUA: NUR EMELDA.TARIKH KEJADIAN
13/3/2015
Emelda keluar terkocoh-kocoh setelah
memarkir keretanya di tingkat empat di bangunan syarikat Mutiara Holding Sdn
Bhd. Sepatutnya pagi ini mereka bermesyuarat sekitar pukul 10.00 pagi. Namun
kerana terlewat bangun, Emelda sampai di pejabat lagi 30 minit ke pukul 10.00
pagi. Itupun setelah rakan sepejabatnya menelefon. Dia tidak balik malam tadi
kerana tidur di apartmen kawannya setelah menghadiri satu majlis kenduri.
Emelda merasakan kepalanya masih
berat. Dia memaksa diri datang ke pejabat kerana tanggungjawabnya pada kerja.
Suasana tempat letak kereta pagi ini sunyi sepi. Emelda menekan punat lif.
Kakinya terhentak-hentak ke lantai simen kerana merasakan pergerakan lif
terlalu lambat naik ke tingkat itu.
Pada ketika inilah pembunuh tersebut
berlari ke arah Emelda setelah bersembunyi di bahagian tangga di tempat letak
kereta itu. Dia mengenakan pakaian serba hitam dan menutup mukanya dengan
topeng salji, bergerak tanpa mengeluarkan sebarang bunyi. Seperti seekor
harimau bintang yang mengintai dan menyerang mangsanya.
Emelda menoleh setelah nalurinya
mengatakan ada seseorang sedang berada di belakangnya. Pada saat dia berpusing,
pembunuh itu terlebih dahulu membenamkan sebilah pisau ke leher Emelda. Sejurus
dia menendang Emelda sehingga wanita itu terundur ke belakang, terhempas ke
pintu lif dan rebah ke lantai.
Emelda masih bernyawa. Nafasnya
berderu seperti seekor kerbau yang hampir putus nyawa. Matanya terbelalak
memandang pembunuh itu. Apabila Emelda hendak bangkit, pembunuh tersebut pantas
memijak badan wanita tersebut. Tanpa rasa belas kasihan pembunuh itu mencabut
pisau yang masih lekat di leher Emelda. Ketika mata pisau itu ditarik, darah
terpancut keluar. Emelda menjerit kesakitan.
Pembunuh itu tunduk sampai ke telinga
Emelda. “Inilah hukumannya kerana menyakiti dan mengkhianati”, bisiknya dan
terus menghiris perut Emelda. Darah membuak lagi. Selanjur wanita itu
kehilangan nyawanya dengan kelopak mata terbuka.
Pintu lif terbuka. Tiada sesiapapun
di dalamnya. Setelah tugasnya selesai, dia melangkah pergi.
...*...
IBU PEJABAT POLIS, KUALA LUMPUR.
13/8/2014
ASP Sakri merenung kertas dan telefon
milik mangsa-mangsa tersebut. Keduanya menunjukkan mesej yang sama. Dahinya
berkerut. Ternyata kedua-dua kes ini menunjukkan persamaan. Tarikh, kawasan,
malahan cara pembunuhan terdapat sedikit persamaan kecuali alat pembunuhan.
Dia bingung. Tiada sebab untuk
kedua-dua mangsa itu untuk dibunuh kerana mereka tidak ada rekod jenayah
sebelum ini. Dia melihat fail-fail yang berada di atas mejanya. ASP Sakri
seakan tersedar saat melihat tarikh pembunuhan dua orang mangsa tersebut. Jarak
masa antara keduanya adalah lima bulan. Dia menepuk dahi. Kenapalah baru dia perasan hal ini. Dia merenung kalendar.
Ternyata hari ini adalah 13/8/2014.Tarikh yang bakal dipilih oleh pembunuh
tersebut iaitu, 13.
ASP Sakri pantas mencapai pistol
miliknya lalu menyuruh anak buahnya menghubungi ibu pejabat.
“Hari ini bakal berlaku satu lagi pembunuhan ngeri.” Hanya itu yang
dinyatakan ASP Sakri sepanjang perjalanannya.
Setibanya di tempat letak kereta
syarikat Mutiara Holding Sdn Bhd, suasana
di situ amat sunyi. Hanya tapak kaki milik ASP Sakri bergema di kawasan itu. Ternyata
firasatnya benar. Apabila tiba di suatu sudut, dia terlihat satu pergelutan. Dengan
langkah yang berhati-hati, ASP Sakri menghampiri kawasan itu dan mengintai di
sebalik tiang. Ternyata terdapat seorang pemuda sedang bergelut dengan
seseorang yang memakai jaket dan menutup mukanya dengan topeng salji.
“Jangan bergerak! Letakkan senjata
anda!” ASP Sakri pantas mengacu
senjatanya.
Namun pembunuh itu lebih pantas.
Dengan pisau bergerigi, dia menjadikan pemuda itu sebagai tebusannya.
“Siapa kau?! Berani kau menganggu
aku! Dia bersalah! Mereka semua bersalah! Aku yang layak menghukum mereka!”,
pembunuh itu mula naik berang. ASP Sakri mula mengenal pasti perwatakan
pembunuh tersebut. Ternyata dia menganggap dirinya sebagai seorang yang
mempunyai kuasa untuk membunuh.
“Kenapa mereka bersalah?” Boleh kau
ceritakan pada aku?” tanya ASP Sakri. Mainan psikologi mula digunakan.
Pembunuh itu mendengus kasar.
“Hmm..aku Jeffry! Mereka semua salah.
Syarikat ni salah. Sebab mereka semualah adik aku mati. Sebab merekalah. Adik
kesayangan aku dah takde! Semua sebab mereka! ”Pembunuh itu mula hanyut dengan
perasaannya. Dalam keadaan dia asyik menangis, ASP Sakri mula melepaskan
tembakan yang tepat di tangannya yang memegang senjata itu. Pada masa itu
jugalah pemuda yang menjadi tebusan itu dengan pantas melepaskan diri daripada
cengkaman pembunuh tersebut.
“Arghh! Kau pun sama! Pembunuh!
Kesian adik aku!” jerit pembunuh tersebut.
Dalam kesakitan, ASP Sakri segera
menggari tangan pembunuh tersebut. Topeng yang selama ini menutupi wajah
tersebut akhirnya dibuka oleh ASP Sakri. Terserlah wajah jelita seorang wanita.
ASP Sakri menggelengkan kepalanya. Wanita itu memang tidak siuman. Pemuda yang
menjadi tebusan itu mengucapkan terima kasih berulang-ulang kali. Akhirnya, kes
ini selesai.
IBU PEJABAT POLIS, KUALA LUMPUR.
“Tahniah ASP Sakri!”, ujar pegawai atasan
itu. Sakri hanya tersenyum sambil mengucapkan terima kasih. Dia telah
dianugerahkan pingat keberanian atas kejayaannya itu.
Kisah pembunuhan di syarikat Mutiara
Holding Sdn Bhd mula tersebar luas. Pembunuhnya iaitu, Nour Aisya. Dia yang
bertubuh lampai, berambut pendek paras tengkuk dan berkulit hitam manis
merupakan seorang pesakit jiwa yang dibebaskan dari hospital atas dasar pulih
sepenuhnya. Namun pada tahun 2013, adiknya Mohd Aizat yang bekerja di syarikat
tersebut telah membunuh diri akibat tekanan di tempat kerja dan gagal untuk
mendapatkan bantuan kaunseling. Lantas penyakit Aisya mula kembali. Dia
melabelkan semua kaunselor di syarikat itu adalah penyebab kematian
adiknya.Pihak hospital mengatakan Aisya mengalami satu penyakit kemurungan yang
serius hingga menyebabkan dia mengalami split
identity.
HOSPITAL KUALA LUMPUR
Aisya masih belum mampu bangkit dari
halusinasi alam sebelah yang memegang karakter Jeffry. Dia bingung apabila
ditempatkan di bilik itu. Seumpama penjara yang menyekat kebebasannya. Namun
dia tidak berupaya melawan walaupun meronta-ronta semasa mula-mula dimasukkan
ke situ. Di hospital ini, Aisya telah dirawat oleh Doktor Amirul.
Puas Aisya merayu agar dilepaskan.
Namun, Doktor Amirul hanya memberikan suntikan penenang supaya Aisya boleh
tidur, sekali gus mengurangkan tekanan yang keterlampauan. Menghindarkan
dirinya supaya tidak terus-terusan mengamuk. Dia dikategorikan sebagai pesakit
kritikal.
Apabila terjaga sebentar tadi, Aisya
masih belum ‘sedar’ dari ilusi yang dialami. Dia menjerit memanggil nama Doktor
Amirul berkali-kali. Namun sampai sakit anak tekaknya, tiada siapa yang
menjenguknya di situ. Akhirnya dia menangis keseorangan. Aisya gagal menerima
kenyataan bahawa dia sedang dikurung sekarang.
Aisya menganggap semua itu satu
konspirasi. Dia berasa teraniaya dan menuduh sesiapa pun terutama Doktor Amirul
merupakan pengikut Jeffry yang mahu memusnahkannya. Pengaruh Jeffry yang
merbahaya itu kini menular dan Aisya berasa dirinya keseorangan dalam usaha
menentang kuasa jahat itu.
“Aisya...”
Satu suara kedengaran memanggilnya.
Pada mulanya Aisya tidak mengendahkannya, namun apabila berulang kali suara itu
memanggilnya, dia menoleh juga. Tiada sesiapa di situ, Aisya mula merasa seram
sejuk.
“Aisya!” panggil suara itu lagi.
Aisya tergamam apabila mendapati
suara itu datangnya dari sebuah cermin. Cermin itu sebenarnya sengaja
diletakkan oleh Doktor Amirul. Cermin itu diperbuat daripada gentian plastik.
Cermin kaca dikhuatiri akan dijadikan senjata oleh Aisya untuk melakukan serangan.
Lebih-lebih lagi untuk menghindarkan Aisya mencederakan dirinya sendiri.
Aisya yang duduk di birai katil
perlahan-lahan bangun. Langkahnya bergerak lambat-lambat kearah cermin. Dari
jauh dia terjenguk-jenguk. Apabila dia berdiri di hadapan, Aisya mendapati
dirinya yang sembab dan kusam.
“Aisya..” Dirinya di cermin itu
berkata-kata.
Ini membuatkan Aisya terundur ke
belakang. Rasa terkejut membuatkan dia ketakutan. Namun, Aisya tidak dapat lari
ke mana-mana pun. Dia terkurung di bilik itu.
“Aisya...jangan takut, ke marilah.”
“Aku bukan Aisya,” tingkah Aisya.
“Kau adalah Aisya. Aku juga Aisya.
Kita orang yang sama.
“Aku...Jeffry,” balas Aisya.
Bayangannya di cermin tersenyum. Sedangkan dirinya berwajah muram.
“Jeffry hanya wujud dalam diri Aisya.
Dalam dunia realiti, Jeffry tak pernah wujud,” kata Aisya di dalam cermin.
“Mustahil!” bentak Aisya.
“Memang sukar terima kenyataan ini.
Tapi itulah hakikatnya.”
“Macam mana kau boleh bercakap
sedangkan kau di dalam cermin. Cuma pantulan imej daripada diriku sendiri?”
tanya Aisya sambil mendekati cermin itu.
“Hanya kau saja yang boleh melihat
aku bercakap.”
“Apa maksud kau?” berkerut wajah
Aisya.
“Cuba kau fikir sendiri.”
“Aku...aku gila?” Mahu saja Aisya
rebah apabila melafazkan kata-kata itu. Imej wajahnya di cermin sekadar
mengukir senyuman hambar.
“AISYA.” Satu suara muncul di sebelah
kiri.
Pantas Aisya menoleh. Apabila
mendapati orang yang memanggilnya itu adalah Doktor Amirul, Aisya lekas berlari
menghampiri lelaki itu. Namun langkahnya terhenti apabila melihat dua orang
lelaki berpakaian serba putih berdiri di belakang Doktor Amirul.
“Cer...cermin tu...” Aisya
tertoleh-toleh ke belakang. Jari telunjuknya menunding ke arah cermin.
“Kenapa dengan cermin itu?” Doktor
Amirul sengaja bertanya walaupun dia memahami halusinasi yang berlaku ke atas
pesakitnya itu. Sebenarnya Aisya hanya berkomunikasi seorang diri dan
menjadikan cermin sebagai alasan untuk semua itu.
Aisya tidak jadi meneruskan kata
apabila mendapati tiada imejnya di cermin itu. Dia berkalih ke belakang dan
menghadap diri ke cermin. Namun tiada pula komunikasi luar biasa yang berlaku.
Apabila menyedari semua itu cuma khayalannya, Aisya mula menggigil.
“Jadi betullah aku ni Aisya dan bukan
Jeffry?” Aisya berpusing ke arah Doktor Amirul. Getaran jantungnya berdegup
kencang. Sukar sekali dia mahu menerima kenyataan itu.
“Bawa bertenang dulu...okey,” pujuk
Doktor Amirul.
“Betul ke..aku ni...gila?”
Setelah sebulan berlalu, Aisya mula
menunjukkan tanda-tanda positif ke arah realiti. Cuma kadang kala fantasinya
menerawang membius kewarasan fikiran. Karakter Jeffry berulang lagi tetapi
tidaklah seteruk dahulu. Namun satu gejala yang sukar dikikis; Aisya masih
tidak tahu bahawa Jeffry yang digeruni itu masih berada dalam dirinya.
Doktor Amirul menggunakan kaedah
rawatan kaunseling dan ubat-ubatan. Kaunseling adalah untuk memulihkan semangat
dan jiwa yang suatu ketika dahulu hilang dari permukaan realiti. Manakala
ubat-ubatan pula untuk mengurangkan suara-suara yang hadir dalam kepala Aisya.
Suara-suara ghaib itulah yang
mengganggu tidurnya saban malam. Dengan memakan ubat Aisya akan nyenyak tidur,
sekali gus merehatkan mental dan fizikal. Usaha itu sebenarnya membolehkan
Aisya menilai semula perkara-perkara logik akal dan tidak terpedaya lagi dengan
halusinasi.
Namun dalam masa terdekat ini Aisya
akan menjalani rawatan intensif. Mungkin Aisya akan ditahan di situ untuk satu
tempoh yang lama bersesuaian dengan perintah mahkhamah. Selagi tidak pulih,
selagi itulah Aisya akan berada di hospital itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan